Wednesday, March 6, 2013

Situasi 1


Situasi 1:
‘Aku’ dan ‘Mung’



                         
           

            Situasi ini berlaku selepas saya menamatkan perbualan saya dengan ibu saya. Salah seorang teman rapat saya menegur mengenai panggilan kata ganti nama yang tidak sopan yang saya gunakan terhadap ibu saya. Jika berdasarkan dialek Terengganu, penggunaan kata ganti nama ‘mung’ bererti ‘kau’ yang boleh mendatangkan persepsi kurang sopan dalam berbahasa. Namun, saya telah membahasakan diri dengan istilah ‘aku’ dan memanggil ibu saya dengan istilah ‘mung’ sahaja. Saya telah menjelaskan kepadanya bahawa penggunaan istilah tersebut merupakan perkara biasa di kawasan saya yang mana terletak di luar bandar  daerah Hulu Terengganu. Pada asalnya dia berpendapat bahawa istilah tersebut digunakan untuk menunjukkan hubungan keluarga kami yang amat rapat untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa pasar yang sering digunakan dalam perbualan dengan teman-teman rapat sahaja. Oleh itu, saya jelaskan bahawa budaya masyarakat kampung terutamanya golongan tua yang sudah terbiasa menggunakan kata ganti nama ‘aku’ dan ‘mung’. Walau ia melambangkan penggunaan bahasa yang kasar bagi masyarakat luar, tetapi tanggapan masyarakat kampung saya lebih menganggap penggunaan kata ganti nama tersebut adalah normal dalam kehidupan seharian.

Ulasan:
Budaya masyarakat kita berbeza-beza. Sebelum menimbulkan persepsi yang negatif terhadap budaya yang berlawanan dengan budaya kita, fahami dan dalami terlebih dahulu budaya mereka. Kadang-kadang ianya membawa maksud yang positif.
Kalau makan berulamkan lada,
Jangan sampai terkena mata;
Kalau budaya tentunya beda,
Jangan dinilai membabi buta.

No comments:

Post a Comment

Cute Flying Pink Bird