Wednesday, April 10, 2013

Situasi 13


Situasi 13:
Lawatan ke rumah Anak Yatim


Pada 17 Mac yang lepas, Persatuan Bahasa Melayu telah menjalankan program lawatan ke rumah anak-anak yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah di Chemor, Perak. Seramai 40 orang pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu U.P.S.I telah menyertai program tersebut yang mana termasuklah saya dan juga rakan-rakan seperjuangan. Melalui program ini, kami telah diberikan adik-adik angkat bagi bersama-sama menjalankan aktiviti-aktiviti sepanjang berada di sana. Bagi kumpulan saya, kami telah dibahagikan dengan pasangan adik beradik yang bernama Amirul dan Aiman yang berusia 6 dan 7 tahun. Semasa di sana, terdapat satu aktiviti yang memerlukan mereka menulis. Aiman yang berumur 6 tahun masih tidak pandai menulis, manakala abangnya pula masih diperingkat awal untuk belajar menulis. Oleh itu, kami terpaksa menyerah kalah tanpa menyertai aktiviti tersebut.
Pada ketika itu, saya terfikir, mereka masih kurang pendedahan untuk belajar dengan bersungguh-sungguh memandangkan kedua-duanya  hanya memasang cita-cita untuk menjadi askar semata-mata. Pemikiran mereka tidak berkembang pada dunia luar yang lebih banyak menjanjikan kepelbagaian bidang-bidang menarik untuk dituju pada masa akan datang. Hal ini membuktikan mereka tergolong antara yang masyarakat yang tidak berusaha untuk keluar dari kelompok mereka sendiri bak kata pepatah “ seperti katak di bawah tempurung”.
Ulasan:
Program kemasyarakatan sebegini perlu dijalankan lebih meluas di seluruh negara untuk mendekatkan warga universiti dengan masyarakat luar. Selain itu,warga pendidik seharusnya bertindak dengan aktif untuk membantu generasi muda untuk memilih hala tuju yang sesuai bagi mereka pilih untuk masa depan. Bakal peneraju masa depan negara ini seharusnya ditanamkan sikap lebih terbuka dengan dunia luar dan sepatutnya membantu menghindari mereka bersifat ‘seperti katak di bawah tempurung’.
Pergi bercuti ke negeri Sabah,
Jangan lupa belikan delima;
Dunia kini makin berubah,
Ayuhlah bangsa maju bersama.

No comments:

Post a Comment

Cute Flying Pink Bird